Tuesday, October 27, 2015

Tahukah Anda Faedah 10,000 Langkah Sehari #FitBandarTunRazak


Berjalan kaki adalah sebahagian penting dalam kehidupan. Bagaimanapun, disebabkan pembangunan yang pesat di seluruh Malaysia, senaman berjalan kaki kini hampir menjadi sebahagian daripada sejarah kuno. Kementerian Kesihatan berhasrat untuk menghidupkan kembali aktiviti ini menerusi kempen 10,000 Langkah Sehari.

10,000 langkah adalah bersamaan dengan berjalan kaki anggaran 6 kilometer sehari dan hanya setelah anda berjalan melebihi 10,000 langkah, barulah anda dianggap sebagai seorang yang aktif dan sihat dari segi fizikal.
Walaupun jumlahnya agak besar dan mencemaskan, seseorang tidak perlu terus berjalan 10,000 langkah pada hari yang pertama. Cuba gunakan tangga dan elak menggunakan lif – ataupun eskalator di stesen LRT. Berjalan kaki ke pejabat dan jangan menaiki teksi. Jadikan berjalan kaki di taman sebagai rutin mingguan anda.

Amalan ini bukan sahaja membolehkan anda melakukan langkah yang diperlukan bagi memperoleh tubuh dan minda yang lebih sihat, malahan anda juga dapat menghirup udara yang bersih, segar dan nyaman.

Bawa rakan-rakan bersama anda. Kemungkinannya, anda hanya perlukan sekumpulan penyokong untuk membolehkan anda meneruskan usaha tersebut. Anjurkan kumpulan berjalan kaki – sama ada dengan rakan sepejabat, dari universiti, sekolah ataupun kawasan kejiranan anda.

Anda tidak akan rasa keseorangan bahkan anda boleh memberi dorongan antara satu sama lain untuk terus berjalan kaki dan mewujudkan persaingan sihat sesama sendiri. Jika anda lebih gemar berjalan bersendirian, teruskanlah nikmati waktu bersendirian itu sambil berjalan kaki.

Walau apa pun, pastikan senaman berjalan kaki ini menjadi sebahagian daripada rutin harian anda. Lama-kelamaan anda akan dapati bahawa anda telah berjalan lebih daripada 10,000 langkah dan anda akan bertanya kepada diri sendiri, mengapakah begitu sukar untuk memulakannya.

Selamat berjalan kaki semua!

No comments:

Post a Comment